Wednesday, February 29, 2012

Pesan Terakhir ~ Syed Qutb

SAHABAT
Andainya kematianku ini kau tangisi
Pusaraku kau siram dengan air matamu
Maka diatas tulang belulangku yang sudah hancur luluh
Nyalakanlah obor untuk ummat ini Dan
Lanjutkanlah gerak merebut kemenangan
Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Taman-taman indah disyurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menyambutku
Dan berbahagialah hidupku di sana
Sahabat,
Puaka kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakan lah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Di sana cahaya fajar memancar.

Monday, February 27, 2012

wasiat Imam As-Syahid Hassan Al-Banna

10 wasiat Imam As-Syahid Hassan Al-Banna

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaanny

KATA-KATA AS-SYAHID:

"berikan aku 300 pasukan, yang mana dada mereka tersurat dengan ilmu pengetahuan, hati mereka berkilauan dengan simbahan cahaya rohani, jasad mereka terlatih, maka ketika itu, kamu ajaklah aku menembusi langit 7 lapisan, manembusi bumi 7 petala atau menghancurkan kepala penjajah, aku sanggup"

Wednesday, February 22, 2012

SEJARAH HITAM UMAT ISLAM


3 Mac 1924 merupakan titik hitam di dalam sejarah umat Islam yang tidak harus dilupakan oleh kaum Muslimin. Pada tarikh inilah umat Islam secara rasmi telah kehilangan perisai dan tonggak tempat mereka berlindung - Khilafah Islamiyyah. Khalifah yang terakhir, Sultan Abdul Majid telah diusir meninggalkan pusat pentadbiran Daulah Khilafah di Turki pada subuh hari tersebut hasil daripada persidangan Majlis Nasional yang diketuai oleh La’natullah Mustafa Kamal melalui konspirasi jahat kafir Barat. Konspirasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada ungkapan Menteri Luar Inggeris, Lord Curzon berikutan runtuhnya Daulah Khilafah; “Persoalan utamanya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritual mereka, iaitu Khilafah dan Islam” .


Pada hakikatnya, keruntuhan Daulah Khilafah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Pertentangan antara dua peradaban ini (Islam dan Kufur) telahpun berlaku sejak awal Rasulullah diangkat sebagai Rasul lagi. Daulah Khilafah yang dirobohkan ini merupakan kesinambungan Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah. Khalifah Abu Bakar As Siddiq merupakan orang pertama yang memulakan diari Negara Khilafah diikuti oleh Khalifah ‘Umar Al Khattab, Khalifah Osman bin ‘Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib di mana zaman pemerintahan mereka dikenali juga sebagai era Khilafah Rasyidah. Selepas itu kekhilafah diteruskan oleh Bani Umaiyyah diikuti kekhilafahan Bani Abbasiyah dan terakhir, kekhilafahan Bani Uthmaniyyah yang semuanya berlarutan lebih 1300 tahun. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hazim yang berkata:

“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan pernah aku mendengarnya menyampaikan hadits dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda:
“Dahulu Bani Israil dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seseorang nabi wafat, digantikan oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada nabi sesudahku. (Tetapi) nanti akan ada banyak khalifah.’ Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Berikanlah kepada mereka hak mereka, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban dari mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya kepada mereka”
Sepanjang tempoh tersebut Islam telah menjangkau dan meliputi 2/3 dunia (lihat rajah kawasan umat Islam pada abad ke 15) dari Timur ke Barat. Sehingga itu juga banyak kejayaan yang telah dicapai dan rahmat melimpah ke atas umat manusia sepertimana Firman Allah:


”Dan tidak kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam” [TMQ al-Anbiya’ 21:107]


Malapetaka ketiadaan Khilafah

Kehinaan yang menimpa umat Islam secara bertali arus sehingga ke hari ini adalah merupakan kesan dari tiadanya kekuatan politik di dalam tubuh umat Islam – tiadanya sebuah kepimpinan umum umat Islam (Al-Khilafah) yang menerapkan hukum-hukum Islam di dalam Negara Islam dan menyebarkan Islam ke luar Negara melalui dakwah dan jihad. Malapetaka yang terus menerus menimpa kaum Muslimin merupakan rentetan dari tiadanya perlaksanaan ke atas perintah Allah secara menyeluruh. Dari firman Allah di atas, adalah merupakan suatu kepastian bahawa dengan terlaksananya hukum-hukum syara’ secara menyeluruh, alam ini pasti akan dipenuhi rahmat Allah.

Namun apa yang kita perhatikan hari ini adalah perintah dan larangan Allah hanya tinggal sebagai tulisan-tulisan di dalam kitab sebagai rujukan akademik dan bukannya sesuatu yang diterapkan sebagai penyelesaian bagi masalah umat manusia. Rentetan dari itu, masalah gejala sosial, murtad, seks bebas, Aids, dadah dan sebagainya kini menjadi lumrah dan keluhan di bibir umat. Hakikatnya, penyelesaian bagi semua masalah-masalah ini telahpun dijelaskan oleh Allah dan RasulNya dengan penyelesaian yang hakiki. Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkannya secara menyeluruh.

Salah satu malapetaka yang cukup menyedihkan yang menimpa umat Islam akibat dari kelalaian umat dalam menerapkan hukum Allah secara menyeluruh adalah dari segi ekonomi. Lihat sahajalah di negeri-negeri umat Islam, hasil bumi mereka seperti petroleum, emas dan perak yang sepatutnya menjadi milik umat telah dimonopoli oleh kapitalis Barat dan juga menjadi milik peribadi penguasa mereka. Akibatnya, umat Islam hidup dengan penuh kemiskinan dan menagih simpati di bumi sendiri. Di Iraq, sebagai contoh, akibat dari ketamakan Barat, 120,000 orang terbunuh di sepanjang 2003-2005, 5 juta kehilangan nyawa akibat embargo, 5000 kanak-kanak meninggal setiap bulan dan 100,000 meninggal akibat radiasi nuklear [Perang Iraq-AS, COMES: 2003]. Dominasi ideologi kapitalis yang kufur pada hari bukan sahaja membawa pelbagai kesengsaraan kepada umat Islam, malah kepada lebih 60% umat manusia di dunia. Kemiskinan, kehinaan dan kesengsaraan termanifestasi di seluruh dunia. Di dalam dunia yang serba canggih ini, masih terdapat 1.214 billion orang miskin, 78% kanak-kanak kekurangan zat, 11 ribu kanak-kanak mati kelaparan setiap hari dan lebih dari 800 juta orang kelaparan di seluruh dunia di mana 70% di antara mereka adalah wanita dan anak-anak. [Shukor Rahman, World Food Program, New Staits of Malaysia Times, 2001]. Semua ini berlaku dalam keadaan 20% dari penduduk dunia menerima lebih dari 60% dari kekayaannya!!! [100 ways of seeing an unequal world – Bob Sutcliffe]. Di Malaysia sendiri, individu terkaya di negara ini memiliki harta melebihi RM 11 bilion sedangkan pendapatan per kapita rakyatnya hanya sekitar RM 1700; malah masih ramai lagi rakyat termiskin yang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga mereka. Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen baru-baru ini, sudah pasti bebanan rakyat akan bertambah dan bagi yang sudahpun berada di dalam keadaan yang sempit, mereka ini bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga...

Soalan yang pasti akan bermain di minda adalah kemanakah perginya segala kekayaan hasil bumi anugerah Allah yang menjadi milik umat Islam keseluruhannya? Kemanakah perginya kekayaan dari petroleum, gas, hasil balak dan lain-lain sumber asli yang begitu banyak dikurniakan Allah kepada kaum Muslimin?? Dalam dunia kapitalis hari ini, kekayaan yang sewajarnya menjadi milik umat, kini diraut oleh para kapitalis yang tidak pernah kenyang dari ketamakan mereka. Akibatnya merintihlah umat untuk mendapatkan bantuan perubatan, pendidikan dan keperluan asas kehidupannya kerana negara telah melepaskan tanggungjawab utamanya – menjaga urusan umat.

Dalam aspek pendidikan pula, cengkaman ideologi kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular secara langsung memainkan peranan besar dalam perkembangan kurikulum di semua negeri umat Islam. Barat mengetahui bahawa dengan mengawal pemikiran umat melalui pengaruh yang mendasar ke atas kurikulum pendidikan, arah tuju umat dapat dialihkan kepada apa yang mereka inginkan. Realiti, dan bukan wahyu dijadikan sebagai sumber pemikiran. Akibatnya, realitilah yang menentukan jalan pemikiran dan bukannya berfungsi sebagai objek pemikiran. Akhirnya, akan lahirlah manusia yang pragmatik dan liberal – manusia yang langsung tidak merasa perlu untuk kembali kepada perintah Allah dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Hari ini, dengan dominasi sistem pendidikan Barat, pengajian ilmu dan tsaqafah Islam menjadi sekadar proses pemindahan ilmu untuk ’dipelajari’ bukan untuk diterapkan dan diamalkan. Akhirnya agama diambil hanya dalam konteks hubungan makhluk dengan Tuhannya sahaja (’ibadah khusus), tidak lebih dari itu. Akibatnya lahirlah masyarakat sekular yang memegang aqidah Islam namun tidak mengambil Islam sebagai penyelesai bagi masalah-masalah kehidupan mereka. Mereka hidup semata-mata ingin meraih dunia tanpa komitmen yang kuat terhadap Islam. Mereka merasa cukup selesa meletakkan Islam hanya sebagai isu peribadi tanpa kesedaran bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab menerapkannya.

Malapetaka yang menimpa kaum Muslimin akibat dari tiadanya Islam dalam kehidupan juga dapat dilihat dalam aspek politik. Satu persatu negeri umat Islam dijajah secara ketenteraan; Iraq, Palestin dan Afghanistan merupakan contoh yang amat jelas. Manakala di negeri kafir umat Islam turut dibunuh dan dihina seperti di Thailand, Filiphina, Rusia serta Perancis. Di negeri-negeri lain, penguasa umat Islam tidak dapat memboloskan diri dari cengkaman negara ’super power’ AS seolah-olah akan berlaku bencana yang amat besar sekiranya telunjuknya tidak dipatuhi. Dalam keadaan ini, kaum kafir begitu bermaharajalela sehinggakan penghinaan ke atas Rasulullah melalui karikaturnya terus dipandang sepi oleh penguasa-penguasa umat Islam. Mereka (penguasa muslim) ini nampaknya sehingga hari ini tidak pernah mengambil pendirian yang tegas dalam menyelesaikan masalah tersebut. Dengan nada penuh kehinaan mereka hanya mampu menyeru kepada penyelesaian melalui dialog dan kompromi dengan kuffar, suatu yang mereka, kaum kafir, sambut dengan tangan terbuka. Dan pada waktu yang sama penguasa-penguasa ini menekan kebangkitan umat yang mahukan penyelesaian yang lebih tegas. Di manakah pendirian kita sebagai umat yang mulia?

Gambaran pemikiran umat Islam hari ini

Terdapat berbagai kelompok yang menyedari kegawatan permasalahan umat Islam kini. Namun usaha mereka masih belum dapat menyelesaikan masalah utama umat Islam malah menimbulkan banyak lagi masalah lain. Ini berlaku akibat dari kekeliruan mereka dalam menangani masalah tersebut. Kelompok yang ikhlas ini terlalu menumpukan tenaga mereka dalam menyelesaikan masalah cabang, namun, terlepas pandang masalah yang lebih mendasar. Contohnya, penyelesaian masalah murtad yang hangat suatu ketika dahulu. Dalam mempertahankan kedudukan mahkamah syariah mereka juga bertekad untuk mengekalkan perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang kononnya melindungi umat Islam padahal permasalahan yang lebih mendasar adalah kedudukan perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan ini, pada hakikatnya tidak didasarkan kepada aqidah Islam dan merupakan ciptaan manusia sedangkan hak untuk membuat hukum itu hanya terletak di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu, isu yang menjadi dasar permasalahan yang sepatutnya diperhatikan adalah mengembalikan hukum Allah dalam aspek perundangan dan kenegaraan secara menyeluruh, bukannya berpuas hati dengan penyelesaian secara separuh-separuh.

Selain itu, natijah daripada diterapkannya sistem pendidikan sekular telah menimbulkan berbagai pemikiran yang rosak di dalam umat. Akibat dari acuan kekufuran yang telah ditanam di dalam pemikiran umat oleh sistem ini, mereka memandang nasionalisme, patriotisme dan demokrasi kapitalisme sebagai pemikiran yang benar dan mendarah daging di dalam tubuh mereka sehingga tidak kelihatan lagi pemikiran lain di dalamnya, apatah lagi pemikiran Islam. Malah ada yang menganggap bahawa kembali kepada Islam itu hanya memberi makna kembali ke zaman silam yang mundur. Tidak kurang juga yang melihat Islam sebagai pemikiran yang tidak lengkap dan uzur sehingga ia perlu diselaraskan, atau diubah, sekiranya perlu, agar selaras dengan perkembangan geo-politik dan sosio-ekonomi dunia. Inilah realiti pemikiran kaum Muslimin hari ini akibat dari penerapan ideologi kufur di tengah-tengah umat.


Kewajiban mendirikan Khilafah

Pada saat ini umat Islam adalah bagaikan anak ayam yang kehilangan ibunya; kehinaan menimpa mereka di mana-mana. Mereka berusaha mencari kemuliaan dengan berbagai-bagai cara namun masih belum lagi menemuinya. Hakikatnya, inilah permasalahan ’hidup dan mati’ yang dihadapi oleh umat hari ini. Satu-satunya penyelesaian yang tuntas adalah dengan menegakkan semula Khilafah. Benar, menegakkan Khilafah bukanlah semudah mengatakannnya. Untuk meraih kejayaan ini, umat haruslah bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya melalui pengkajian, pembinaan dan perjuangan yang tidak kenal lelah. Usaha keras untuk mengembalikan Islam sebagai ideologi yang mendominasi dunia ini bukan sahaja merupakan satu-satunya jalan yang harus ditempuh oleh kaum Muslimin, malah, ia merupakan kewajiban setiap muslim untuk melakukannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman;


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan pemimpin daripada kamu...” [TMQ an-Nisa’ 4:59]

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda yang bermaksud;

”Siapa saja yang mati tanpa tanpa ada baiat (kepada imam/khalifah) di pundaknya, maka matinya adalah mati jahiliah” [HR Muslim].

Kedua-dua nas di atas menyatakan kewajiban setiap individu muslim untuk melantik (bai’at) pemimpin (Khalifah) yang akan menjaga urusan mereka. Namun kewajiban bai’at tersebut tidak akan terlaksana jika tidak ada orang yang hendak dibai’at. Oleh itu usaha untuk melantik atau mendirikan Khilafah itu sendiri menjadi pokok persoalan utama bagi memastikan tertegaknya Islam.
.
Realiti musibah demi musibah yang menimpa umat pada hari ini juga menunjukkan bahawa tidak ada cara lain yang lebih utama untuk mengembalikan kemuliaan umat yang terbaik ini selain dengan mendirikan semula Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah.

Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;

”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
[HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]


Jalan untuk mendirikan semula Khilafah

Khilafah adalah bentuk sistem pemerintahan Islam seperti yang diamal dan dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mendirikan Khilafah bukanlah usaha yang berbentuk individu, namun, ia merupakan usaha yang berbentuk jamaah. Bagi memastikan bahawa jamaah ini bergerak di atas jalan yang benar, ia haruslah memiliki fikrah (pemikiran) dan tariqah (jalan/kaedah) yang jelas dan benar. Dan kebenaran hanya dapat diperoleh dari nas yang kuat. Dengan kejelasan dan kebenaran fikrah dan tariqah ini, jamaah tersebut akan dapat bergerak memimpin umat menegakkan semula Khilafah. Pada masa yang sama, setiap individu muslim haruslah berusaha bersungguh-sungguh, bersama dengan jamaah ini ke arah mengembalikan kehidupan Islam. Ini sesuai dengan kaedah syara’ yang berbunyi;

”Tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”

Menerapkan Islam secara menyeluruh merupakan suatu kewajiban. Ini tidak akan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa kekuasaan dan Khilafah Islam merupakan satu-satunya bentuk kekuasaan yang sah di sisi syara’. Kini Khilafah tidak wujud. Mewujudkan Khilafah menjadi suatu kewajiban dan tanpa jamaah, kewajiban ini tidak akan dapat dijalankan. Dan selagi jamaah ini masih belum berjaya menegakkan Khilafah, maka di atas setiap pundak kaum Muslimin ada kewajiban untuk bersama-sama jamaah ini menegakkan Islam.

Jamaah ini haruslah berjuang dan beraktiviti sebagai sebuah parti politik, kerana aktiviti mendirikan negara, menguruskan negara dan menjaga urusan umat Islam adalah merupakan aktiviti politik. Syariat Islam tidak pula menetapkan bilangan jamaah yang harus ada bagi menjalankan aktiviti ini. Yang ditetapkan Islam adalah kewajiban mewujudkan jamaah untuk menyeru kepada Islam dan melakukan aktiviti amar ma’ruf dan nahi mungkar. Allah berfirman di dalam surah Al Imran ayat 104.


“Dan hendaklah ada daripada kamu satu umat (jamaah); mereka menyeru kepada kebaikan mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah perkara munkar dan mereka adalah orang-orang yang berjaya”

Wahai kaum muslimin,

Semenjak kejatuhan Daulah Khilafah pada 3hb Mac 1924, umat terus ditimpa musibah yang tidak putus-putus. Umat, meskipun berada dalam keadaan yang tertekan, terus berpecah-belah dan saling bertelagah. Namun keadaannya berbeza dengan kaum kuffar. Mereka bersatu mempertahankan Denmark ketika negara tersebut diancam dengan pemulauan. Kata-kata Presiden EU baru-baru ini mempertahankan pendirian Denmark untuk tidak meminta maaf kepada kaum Muslimin menghidupkan semula memori Perang Salib. Apakah peristiwa penghinaan ke atas Rasul, kezaliman Yahudi dan pencerobohan mereka ke atas Qiblah-al-awwal, penghinaan ke atas Al-Quran, penyiksaan ke atas tahanan Islam di Teluk Guantanamo dan Penjara Abu Ghareeb serta banyak lagi penyeksaan ke atas kaum Muslimin masih belum cukup bagi kita untuk menyadari bahawa tiada penyelesaian lain bagi kaum Muslimin kecuali dengan menegakkan Negara Islam Khilafah? Semoga Allah menanamkan kesedaran ini kepada kaum Muslimin dan mempercepatkan berdirinya Daulah Khilafah. Marilah kita sama-sama berdoa agar 3hb Mac tahun ini merupakan hari peringatan terakhir bagi kaum Muslimin sebelum kemenangan gilang-gemilang dikurniakan Allah kepada umat yang mulia ini!. Amin.